Sabtu, 27 Ogos 2011

Hikmah Berzikir

Terngiang-ngiang bayangan Masjid Pondok Pasir Tumboh, masjid yang menjadi tempat solatku sejak umur lima tahun lagi, kali ini nak cerita pengalamanku ketika belum berlepas ke Mesir.
Selepas solat Subuh di masjid tersebut, masjid tersebut mengadakan majlis berzikir sehingga jam 8.00 pagi.
Sememangnya pada permulaannya kita akan rasa malas untuk berzikir, tetapi ketika aku berada di rumah dalam tempoh masa yang agak lama kerana sedang menunggu keputusan SPM cuba juga kuatkan diri ini menyertai majlis zikir ini.
Beberapa minggu selepas itu, aku terasa ada kelainannya sejak aku join majlis berzikir tersebut.
Antaranya ialah, kebiasaanya selepas solat Subuh aku akan terus tidur walaupun sukar untuk melelapkan mata.
Tetapi sejak aku turut serta dalam majlis zikir tersebut, aku sudah tidak lagi tidur selepas subuh. Aku akan cuba berzikir dan mengingati Allah.
Aku pelik juga kenapa dan bagaimana aku boleh mendapat kekuatan sebegitu, sehinggalah aku mendapat maklumat tentang kelebihan berzikir daripada sudut sains ini.
Otak sebenarnya ialah satu himpunan aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi secara sempurna.
Ketika otak berfungsi, berlaku perubahan kimia di dalamnya yang melibatkan pergerakan ion-ion atau atom-atom yang membawa cas. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain.
Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas. Ukuran isyarat otak yang terhasil daripada aktiviti elektrik yang dikenali sebagai elektro-ensefalogram (EEG).
Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimah-kalimah Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif.
Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik.
Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.
Otakku ketika itu mula memahami perkara baru, dan mula melihat daripada perspektif berbeza. Aku juga menjadi semakin kreatif dan kritis, sedangkan sebelum mengamalkan zikir otak tidak sebegini.
Otak yang segar dan cerdas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.
Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. Kajian dilakukan di University of Washington dengan menggunakan ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar.
Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan.
Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.
Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang kali, aktiviti saraf otak merebak ke kawasan-kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain.
Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama.
Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.
Jika ia mengaitkan tentang kecerdasan otak, maka betullah sabda Rasulullah S.W.T yang bermaksud: "Orang yang berzikir kepada Allah ditengah-tengah orang yang lalai ibarat sebuah pepohonan yang hijau di tengah-tengah pepohonan yang kering."
Oleh itu , saudara-saudaraku seislam, ketika saintis barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini sudah lama mengamalkannya dan menerima

~Akhir-Akhir Ramadhan ~

Jika sepuluh hari terakhir Ramadhan merupakan saat di mana Rasulullah S.A.W memperbanyakkan amalan  dengan berjaga malam, beriktikaf, dan mengejutkan ahli keluarga untuk bersama dengannya melaksanakan ibadah-ibadah sunat, bagaimanakah pula dengan kita?
Sewajarnya contoh yang ditunjukkan oleh Baginda dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadhan dijadikan teladan kepada seluruh umat Islam pada hari ini.
Sesungguhnya pedoman yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W jelas mencerminkan kepada kita betapa tinggi dan bernilainya detik-detik terakhir Ramadhan yang sedang kita lalui saat ini. Alangkah malangnya jika kita semakin alpa dan lalai dalam melaksanakan ibadah kita pada saat-saat Ramadhan yang kian melabuhkan tirainya.
Sedangkan kita seharusnya menghidupkannya dengan meningkatkan lagi amalan-amalan sunat bagi meraih pahala berlipat ganda yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T. Lebih manis lagi apabila Allah S.W.T turut menjanjikan kehadiran Lailatulqadar (yakni malam yang lebih baik daripada seribu bulan) pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.
Sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam surah al-Qadr (ayat 1-5) yang bermaksud:"Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"
 أَلَا لِلَّـهِ الدِّينُ الْخَالِصُ ۚ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّـهِ زُلْفَىٰ إِنَّ اللَّـهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ
Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya", - sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).
(Surah az-Zumar 39: Ayat ke 3)


Ahad, 21 Ogos 2011

Bila Cinta Berputik. Adakah Dia Jodohku?

"Tiada terfikir,
Terlintas Engkau akan tiba,
Membawa perangsang.
Tiada terfikir, Terlintas,
Engkaukan membuka,
Sempadan perasaan.
Bunga kembang bertali hati, Bunga kembang di puncak akli"
Begitu indah cinta, membawa perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Akan tetapi diluah melalui boneka jasad serta lirikan mata, lidah kelu diam seketika, jantung berdegup pantas tidak mencemaskan tetapi indah.

Remaja pada awalan usia mereka merasakan diri mereka ingin dicintai dan ingin mencintai. Akhirnya mencari cinta. Cinta pada usia muda yang sering digelar cinta monyet.
Tidak kurang pula ketika mereka melangkah ke menara gading. Mitos memaksa mereka mencari pasangan sebelum mendaki anak tangga pentas konvokesyen, kononnya, menara gading tempat mencari pasangan hidup yang akan hidup bersama mereka selepas graduasi.
Akan tetapi, alangkah sedihnya cinta yang berputik dan berbunga-bunga akhirnya tewas, melebur membentuk luka yang pedih dan sakit. Sesak nafasnya!

Lebih teruk kesannya jika apabila mereka sedar (meskipun tidak mengakui atau tidak menunjuk) bahawa perjalanan kisah cinta mereka telah pun melangkaui batasan agama, bersentuhan, berkucupan, berkhalwat dan terlanjur. Malu dan kesal serta sedih kerana diri telah menjadi tidak suci dan kotor, akan tetapi orang yang bersama-sama untuk berkongsi kotor dan jijik tidak lagi bersama. Risau pula jika perbuatan mereka dikhabarkan.

Yang nyata dan pasti, kamu tidak terlepas dari pandangan Allah dan Allah mengetahui perbuatan kemungkaran kamu. Taubatlah!
Jika kamu merasakan dia jodohmu, adakah dia mengajak kamu kepada kebaikan lebih banyak daripada membawa kamu kepada kemungkaran?
Oleh sebab itu, saya ingin mengajak para adik-adik untuk berfikir sejenak apakah niat kita bercinta dan di mana kita mahukan ia berakhir? Terutamanya adik-adik yang bakal bergelar graduan.
Ketika cinta kamu berputik pada si dia dan kamu sendiri mengakui di dalam hati kamu bahawa kamu ada rasa sayang pada dia, dan hati kamu punya rasa cinta padanya, renung seketika, di mana kamu ingin meletakkan cinta Allah yang jauh lebih hebat dari dia.

Jika cinta Allah lebih kamu sayang, letaklah cinta Allah sebagai batasan pergaulan kamu.
Apabila kisah cinta mula melorot dari satu episod ke satu episod yang lain. Renung kembali apa salahnya kamu pada Allah dan apa ajarannya telah kamu ikuti?

Pada ketika itu, fikirlah adakah pernikahan yang kamu cari atau hanya suka-suka? Jika suka-suka, tiada cinta yang berharga dari kamu dan untuk kamu. Jika pernikahan yang kamu cari, maka tidak usahlah buang masa lagi. Dekatilah pernikahan kerana kamu perlu mencari keredhaan Allah.
Bersama keredhaan Allah, langkah-langkah kamu menghampiri pernikahan sangat mudah jadinya. Kadang-kala di luar jangkaan kamu. Namun, jika dugaan yang datang, tabahkan hati tetapkan niat kamu untuk mencapai keimanan yang lebih baik melalui pernikahan.

Kerapkan menunaikan solat sunat tahajjud dan istiqarah. Mohonlah ditunjukan jalan dan memastikan dialah jodoh kamu. Jika tidak diilhamkan bahawa dia adalah jodoh kamu, terima qada Allah, teruskan kehidupan dan persahabatan, serta carilah pasangan yang bakal menjawab istiqarah sebagai jodoh kamu.
Jauhi dari hati yang makin berbunga dan berputik cinta walhal kita sebenarnya jauh dari jodoh. Itu hanya melukakan hati yang sangat lembut ini.

Cinta sesama manusia tentu tidak setanding dengan cinta dari Allah S.W.T, tetapi, kerana cintakan Allah, kita mencintai manusia juga.

Cinta berputik biar bertapis. Agar diberkati dan diredhai Allah S.W.T.

Jangan Sesekali Kamu

Jangan sesekali kamu bersikap kejam memberikan harapan pada seseorang itu lalu dia jatuh cinta sedangkan diri kamu tidak mencintainya.
Jangan sesekali kamu hadir dalam hidup seseorang kalau ia hanya kamu rasakan akan menghancurkan perasaanya.
Jangan sesekali kamu menatap tepat di matanya jika semua yang kamu lakukan hanya kepalsuan belaka.
Jangan sesekali kamu mengambil berat ke atas dirinya terlalu berlebihan hanya kerana sekadar simpati kelak bimbang dirinya menaruh hati padamu.
Jangan sesekali diri kamu mengatakan "aku cinta padamu" sedangkan di dalam hatimu hanya nafsu yang bertakhta.

Magnet Bulan Ramadhan! Satu Permulaan

i) Permulaan Ramadhan
Ramadhan Kareem buat semua. Terasa begitu cepat benar masa berlalu, sedar tak sedar hampir 2/3 perjalanan Ramadhan kita telah lalui. Bila memasuki bulan Rejab dan Sya'aban, ramai yang tidak sabar menanti kehadirannya.
Ya Allah, bulan istimewa yang Engkau anugerahkan buat hamba-Mu. Syukur Ya Allah, Allah sampaikan kita pada bulan Ramadhan bulan yang terselit berjuta-juta keistimewaan dan peluang untuk kita selaku hamba-Nya merebut setiap detik sebaikya.
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." [al-Baqarah 2:183]

Ayuh! Beruntunglah orang-orang yang sentiasa berusaha dalam menggapai redha Allah! Mahukah kita menjadi salah satunya?

ii. Bertatih Mengenal Puasa 
Terimbau waktu kenangan semasa kecil-kecil dahulu mungkin ketika itu belum tahu maksud bulan Ramadhan serta apa fadhilatnya, ketika itu bertatih belajar nak berpuasa, bertatih mengenal Solat Sunat Tarawikh, belajar sedikit demi sedikit. Tahun pertama belajar bepuasa, puasa berselang-seli, ada ponteng, kemudian tahun berikutnya cuba tingkatkan dari tahun sebelumnya sehingga usia meningkat untuk wajib berpuasa penuh sebulan di bulan Ramadhan.
Alhamdulillah, tarbiah buat anak kecil. Proses belajar mengenal Allah. Contoh terbaik yang selalu diperhatikan oleh anak-anak ialah ibu ayah mereka selaku orang yang paling hampir dengan mereka. Mereka belajar dari apa yang mereka perhatikan. Dalam proses berpuasa, kebiasaannya ibu akan mula mengajak anak kecil berpuasa. Dari situ, peranan ayah dan ibu memberi sokongan kepada si kecil untuk sama-sama berpuasa sehinggalah waktu berbuka.
Kelonggaran diberikan sekiranya mereka tidak tahan tetapi semangat untuk mereka berpuasa sudah mula dipupuk dan akan bercambah hari demi hari. Mungkin pada awalnya, keluhan dari anak kecil tetapi dengan proses belajar hari ke hari sudah menjadi kebiasaan untuk anak-anak teruskan berpuasa tanpa keluhan. Kadangkala keterpaksaan itu akan akhirnya membuahkan keikhlasan dan keyakinan dalam melaksanakan amalan.

iii. Bulan Anugerah Istimewa 
Dalam bulan ini, Subhanallah penuh ruangan solat lebih-lebih waktu malam. Berpusu-pusu hamba Allah ke masjid dan surau melaksanakan ibadah solat Tarawikh dan kemudian disusuli tadarus. Dari seawal Subuh, kemeriahan rumah-rumah Allah dapat dirasai. Al-Quran dibaca, ditatapi maknanya, sebaiknya cuba diselesaikan 30 juz dalam sebulan Ramadhan.
Masya-Allah! Ada yang mengambil peluang bulan Ramadhan ini sebagai permulaan untuk berubah dan memperbaiki diri dalam meniti perjalanan seterusnya. Di siangnya, yang mana kita perlu mendisiplinkan diri menahan daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dan juga yang boleh mengurangkan pahala berpuasa. Di malamnya pula persiapan untuk menambahkan cinta antara Pencipta dan hamba-Nya. Ditambah pula dengan tadarus al-Quran, zikir-zikir dan sebagainya. Pokoknya siang dan malam penuh dengan tentatif yang mudah untuk digandakan pahala dan meraih cinta-Nya!
Cuba Tanya pada diri kita ke mana perjalanan kita? Magnet bulan Ramadhan!
Sabda Baginda Rasulullah S.A.W: "Setiap amalan anak Adam (manusia) itu digandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya hingga kepada 700 kali ganda." Firman Allah S.W.T (maksudnya): "Kecuali puasa yang dikerjakan untuk-Ku, maka Aku-lah yang membalasnya. Dia menahan syahwatnya dan meninggalkan makan kerana Aku." Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Demi bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi. [Riwayat Muslim dari Abu Hurairah]

iv. 10 Terakhir Ramadhan 
Satu hari lagi kita akan memasuki fasa terakhir bulan Ramadhan. Sedih kan bulan Ramadhan sudah mahu meninggalkan kita? Apakah kita berpeluang akan bertemu dengan Ramadhan yang akan datang? Pada bulan Ramadhan, bermacam-macam tawaran bonus menarik yang ditawarkan yang boleh kita rebut. Yang paling terbesar adalah Anugerah Lailatul Qadar yang mana Allah sembunyikan bilakah Lailatul Qadar.
Anjuran pada kita untuk meningkatkan lagi amal ibadah, qiam, solat sunat, tadarus, iktikaf dan sebagainya pada sepuluh malam yang terakhir. Masya-Allah, sangatlah beruntung mereka yang dipertemukan dengan malam seribu bulan ini. Tatkala melalui perjalanan sepuluh yang terakhir, pemergiannya hampir-hampir dirasai. Kadangkala kita tidak menggunakan peluang dengan sebaiknya, ia terus beredar dengan begitu sahaja. Kita masih ada peluang! Ayuh kita gunakan sepuluh yang terakhir ini dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah, beribadah, banyakkan berdoa dan lain-lain lagi.
"Ya Allah, moga Ramadhan kali memberikan pengertian yang mendalam buat hamba-Mu ini Ya Rabb."
Siti Aisyah R.A ingin sangat untuk bertemu dengan malam Qadar (Lailatul Qadar), dia bertanya kepada Nabi "Bilakah berlaku malam Qadar?"
Nabi bertanya kepada Aisyah semula, "Apakah akan kamu buat bila kamu bertemu dengan malam Qadar?"
Aisyah menjawab "Saya tidak tahu." Kemudian Aisyah bertanya lagi "Apakah yang patut saya buat bila bertemu dengan malam Qadar itu?"
Nabi berkata kepada Aisyah "Malam itu malam yang amat baik untuk beramal di malamnya dan amat mudah dimakbul Allah doanya."
Aisyah bertanya lagi "Apakah doa yang paling baik untuk aku berdoa pada malam itu?"
Nabi S.A.W menjawab "Kalau kamu sempat berjumpa dan mengetahui malam itu ialah malam Qadar berdoalah, 'Allahumma innaka 'afu wun tuhibbul 'afwa fa' fu' anni." (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah aku) [Hadis Riwayat at-Tirmidzi]
v. Syawal yang bakal menjelma. Ke mana hala tuju selepas Ramadhan? 
Lebih kurang 11 hari lagi, umat Islam akan menyambut bulan Syawal. Anak bulan Syawal menandakan pengakhiran bulan Ramadhan. Adakah kemeriahan dan pesta ibadah yang dirasai bulan ini juga berakhir tatkala memasuki malam satu Syawal? Muhasabah diri bersama. Mari! Kita gunakan bulan ini sebagai muhasabah, koreksi dan permulaan perjalanan baru kita yang mendatang untuk tingkatkan ketaqwaan dan Iman, Insya-Allah.
Di bulan Ramadhan ini kita wajib berpuasa sebulan, Insya-Allah kita juga bisa melatih untuk berpuasa sunat di bulan-bulan yang lain. Dalam bulan ini, Alhamdulillah kita cuba menghabiskan 30 juz al-Quran, Insya-Allah pada hari-hari yang mendatang juga kita ada peluang membaca dan menghayati kandungan al-Quran setiap lembaran.
Di bulan ini, Alhamdulillah kita perbanyak solat sunat seperti Solat Sunat Tarawikh, Tahajjud, Taubat dan lain-lain. Insya-Allah pada detik-detik dan hari-hari yang mendatang juga kita bisa ringan Qiammullail, Solat Sunat Tahajjud, Solat Sunat Taubat.
Di bulan ini kita perbanyak sedekah, Insya-Allah di bulan-bulan lain juga kita dapat bersama-sama berkongsi dan ringan untuk hulurkan sebahagian rezeki yang kita ada.
Subhanallah! Nikmatkan & indahkan. Tarbiah untuk hari mendatang! Starting 'point' kita dah mula, nak teruskan tak? Ayuh!
"Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha Pengampun, Maafkanlah kami Ya Rabb. Berkatilah kami dalam Bulan Ramadhan. Jadikan bulan ini permulaan kebaikan dan penghijrahan buat kami ke arah yang lebih baik untuk menambahkan Taqwa kepada-Mu Ya Allah."