Jumaat, 28 Oktober 2011

Ku Rindu Padamu Ya Rasulullah!

Garis-garis sinar mentari menembusi jendela bertabir menerangi bilik bacaan itu dengan cahaya yang malap. Secangkir Nescafe panas dan beberapa keping biskut di atas meja yang dihidangkan ibunya untuk sarapan pagi masih belum terusik. Tiada bunyi bingit yang menggangu tumpuan, melainkan hanya bunyi kipas angin yang sedang berputar laju. Azim berdiri di sisi rak buku yang terletak bersebelahan dengan meja tulisnya. Kopiah putih yang menutupi rambut pendeknya yang sedikit keriting dilepaskan ke atas meja. Matanya yang sepet itu memerhati dengan teliti judul-judul kitab yang berada dalam koleksi rujukannya sambil disentuhnya kitab-kitab itu satu persatu dengan hujung jarinya. Mencari sesuatu.
Sebuah kitab yang tebal ditarik keluar daripada rak buku. Kitab yang berjudul Syamail Muhammadiyah itu dibelek-belek daripada satu muka surat ke muka surat yang lainnya. Pada kulit buku tertera nama pengarang, Imam At-Tirmizi, salah seorang ulama hadis terkemuka dan terkenal dengan kitab Sunan At-Tirmizi yang tersenarai dan kutubus sittah.
Syamail Muhammadiyah adalah satu kitab Imam At-Tirmizi yang dikhaskan olehnya untuk menghimpunkan hadis-hadis yang menjelaskan tentang sifat-sifat dan peribadi serta akhlak Nabi Muhammad s.a.w. Padanya ada hadis yang shahih, hasan dan juga dhaif sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam At-Tirmizi sendiri.
Membaca sifat-sifat Rasulullah s.a.w yang tercinta, hatinya diselubungi perasaan sayu dan rindu. Terkenang kewafatan Rasulullah s.a.w di pangkuan isterinya yang tercinta, Ummul Mukminin Aisyah r.anha. Ketika itu pada waktu Dhuha pada hari isnin, bersamaan 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah, selepas bersiwak Rasulullah s.a.w pun mengangkat tangannya dan menyebut, "Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah daku dan pertemukanlah daku dengan Kekasih yang Maha Tinggi. Ya Allah, Kekasih yang Maha Tinggi." Setelah mengulangnya kalimah itu sebanyak tiga kali, Rasulullah s.a.w pun kembali menghadap kepada Allah, Kekasih yang Maha Tinggi.
Berikutan tersebarnya khabar kewafatan Rasulullah s.a.w itu, seluruh umat Islam dilanda rasa sedih dan duka. Umar r.a ketika itu hilang pertimbangan, lalu ditenangkan oleh Abu Bakar Ash-Shiddiq. Bilal bin Rabah r.a yang biasa melaungkan azan, menangis teresak-esak apabila sampai pada kalimah "Asyhadu anna muhammadar rasulullah" kerana teringatkan Rasulullah s.a.w, sehinggakan mereka yang mendengar tangisan itu turut menangis sama.
Kewafatan Rasulullah s.a.w merupakan kehilangan yang amat besar kepada umat Islam daripada dahulu sehingga ke hari ini.
"Allahumma solli 'ala muhammad," Azim mengucap selawat berkali-kali sebagaimana yang diriwayatkan. Kerinduan untuk bertemu Rasulullah s.a.w meresapi jiwanya, memenuhi kolong hatinya. Hasratnya ingin bersua dengan baginda s.a.w, namun apakan daya, takdir telah tertulis bahawa lahirnya ke dunia, Rasulullah s.a.w sudah pun lama pergi menemui Kekasihnya, Allah Rabbul Jalil.
Untuk itu hanya peninggalan Rasulullah s.a.w yang berupa al-Qur'an dan as-Sunnah yang menjadi pegangannya, bersama kefahaman para Salafus Soleh. Pada masa yang sama dia tetap berharap, agar dipertemukan dengan Rasulullah s.a.w di alam mimpi, walaupun tidak dapat bersua muka secara nyata.
Fikiran Azim menerjah ke masa silam. Terkenangkan peristiwa ketika dia berada di bangku sekolah tingkatan tiga, di SMK Bandaraya. Ketika mula-mula tertarik untuk mendalami agama selepas tersedar daripada hanyut dibawa ombak kelalaian, tenggelam dalam samudera kesia-siaan. Masih anak muda remaja yang belum begitu mengerti soal agama yang murni.
"Saya mimpi melihat Rasulullah s.a.w, ustaz!" luahnya ketika menemui Ustaz Sabri di bilik guru. Dia mengkhabarkan kepada ustaz Sabri, bahawa mimpinya lewat malam semalam, dikunjungi oleh seorang lelaki misteri yang tidak pernah dikenalinya, berseri-seri dan bercahaya. Namun yakinnya menyatakan bahawa itu adalah Rasulullah s.a.w.
Dia teringat Ustaz Sabri pernah berkata kepadanya, bahawa Rasulullah s.a.w pernah menyatakan ketika sesi pembelajaran subjek Pendidikan Islam bahawa syaitan tidak dapat menyerupai baginda s.a.w. Namun, ustaz Sabri yang separuh usia itu tidak sempat mengulas lanjut mengenai luahan mimpinya kerana sibuk menyiapkan kertas soalan untuk peperiksaan yang akan diduduki oleh semua pelajar dua minggu lagi. Dan dia pun tidak mahu mengganggunya.
Beberapa hari berlalu. Mimpi yang menerpa lenanya beberapa malam lepas masih segar di dalam benaknya, tidak dapat dilupa.
"Ya Allah, pertemukanlah daku dengan Rasulullah s.a.w di dalam mimpi." Doa Azim sebelum terlena di atas sejadah, kelelahan menunaikan qiamulail keesokan malamnya. Sekali lagi lelaki misteri itu berkunjung di dalam mimpinya. Kali ini dengan beberapa orang yang berserban dan berjubah putih dengan wajah yang berseri-seri. Dia cuba untuk berbual dengan lelaki tersebut, bertanya kepadanya, mahukan kepastian. Namun lelaki dalam mimpinya itu hanya tersenyum. Air matanya mengalir sambil menangis teresak-esak sebaik sahaja terjaga. Hatinya semakin teguh berkata, lelaki yang ditemuinya itu adalah Rasulullah s.a.w.
Sebaik sahaja loceng berbunyi menandakan berakhir sesi pembelajaran pada hari berikutnya, Azim bergegas mengatur langkah ke bilik guru untuk bertemu dengan ustaz Sabri. Moga-moga ustaz Sabri tidak sibuk pada hari ini, bisik hatinya.
Tiba di hadapan bilik guru, Azim menolak daun pintu seraya memberikan salam dan melangkah masuk setelah dipersilakan oleh ustaz Sabri. Alhamdulillah, ustaz Sabri kelihatan sedang berehat di tempat duduknya. Nampaknya ada peluang untuknya berbual panjang dengan Ustaz Sabri.
"Memang benar, syaitan tidak mampu untuk menyerupai Nabi Muhammad s.a.w di dalam mimpi." Ulas ustaz yang separuh usia itu sambil mengusap-usap janggutnya yang sejemput kemas. Posisi cermin matanya yang tebal itu dibetulkan.
"Tapi, tidak semua yang berkunjung dalam mimpi kita dan mengaku sebagai Rasulullah s.a.w itu adalah Rasulullah s.a.w yang sebenarnya."
"Maksud ustaz?" Tanya Azim. Bukankah dahulu Ustaz Sabri juga yang berkata kepadanya, bahawa Rasulullullah s.a.w itu tidak dapati diserupai oleh syaitan, bisik hatinya. Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu. Keliru.
"Menyerupai dan mendakwa diri sebagai Rasulullah s.a.w adalah dua perkara yang berbeza." Ustaz Sabri mengeluarkan sebuah kitab daripada susunan buku-buku tebal yang berada di atas meja. Syamail Muhammadiyah, itulah judulnya. Fikiran Ustaz Sabri teringat pernah suatu ketika di dalam rancangan Expose Mistik di saluran Astro Prima, ada guru tareqat sesat yang mengaku bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan mendakwa Rasulullah s.a.w datang kepadanya sambil menangis memikirkan umatnya, lalu meminta syaikh tareqat itu menyelamatkan mereka. Suatu cerita yang kemungkinan besarnya dusta dan direka-reka untuk memperdaya para pengikutnya agar taksub dan kagum kepadanya.
Terjemahan Syamail Muhamadiyah terbitan PTS Islamika :
"Kita tidak boleh mempercayai dengan serta-merta apabila seorang lelaki misteri menemui kita di dalam mimpi dan menyatakan dirinya sebagi Nabi Muhammad s.a.w." tambah Ustaz Sabri lagi. Kitab yang diletakkan di atas meja itu dibeleknya satu persatu. "Memang benar syaitan tidak mampu untuk menyerupai Nabi Muhammad s.a.w sebagai zahirnya, tapi syaitan mampu untuk mendakwa dirinya sebagai Nabi Muhammad s.a.w."
"Tapi perasaan saya kuat merasakan sedemikian, ya ustaz." Azim bersuara, tapi keyakinannya terhadap mimpi tersebut mulai goyah.
"Perasaan tidak cukup untuk kita menentukan itu Rasulullah s.a.w atau pun sebaliknya, Azim." Kata Ustaz Sabri dengan mesra. Dia faham tentang perasaan rindu muridnya itu kepada Rasulullah s.a.w, sebagaimana yang dikhabarkan kepadanya beberapa hari lepas.
"Lalu bagaimana hendak menentukannya?"
"Dengan riwayat-riwayat yang shahih dan hasan tentang baginda s.a.w yang sampai kepada kita." Jawab Ustaz Sabri. Telunjuknya ditujukan ke satu muka surat di dalam kitab Syamail Muhammadiyah. "Pernah suatu ketika seorang berkata kepada Ibnu Abbas r.a, bahawa dia bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w, maka Ibnu Abbas r.a pun bertanya kepada orang yang berkata itu tentang ciri-ciri Rasullullah s.a.w yang ditemui dalam mimpinya bagi membuat perbandingan, adakah yang hadir dalam mimpi itu benar adalah Rasulullah s.a.w atau pun sebaliknya."
"Maka begitu juga dengan kita. Sekiranya setelah membuat perbandingan, dan nyata bahawa wujudnya persamaan di antara riwayat yang sampai kepada kita berkenaan dengan Rasulullah s.a.w, dengan orang yang mengaku sebagai Rasulullah s.a.w dalam mimpi kita, maka mungkin sekali ianya adalah Rasulullah s.a.w. Sekira sebaliknya, maka kemungkinan besar itu bukanlah Rasulullah s.a.w yang sebenarnya."
"Sebagai contohnya, di dalam mimpi kita melihat Rasulullah s.a.w itu berambut putih kerana banyaknya uban, sedangkan yang sampai dalam riwayat yang shahih, uban Rasulullah s.a.w itu tidaklah begitu banyak. Bahkan, ianya mampu dihitung dengan menggunakan jari." Kitab Syamail Muhammadiyah yang dihulurkan oleh Ustaz Sabri dicapainya dengan segera.
Azim membelek lembaran muka surat yang menyatakan tentang ciri-ciri zahir Rasulullah s.a.w, pada masa yang sama dia cuba mengingat kembali ciri-ciri lelaki yang mengunjungi mimpinya untuk membuat perbandingan dengan apa yang dibacanya dalam kitab itu. Ustaz Sabri diam memerhati muridnya sambil tersenyum melihat gelagatnya.
Air jernih mula bergenang di tubir matanya. Menitis tanpa disedari, lalu disekanya air mata itu dengan menggunakan tapak tangannya. Fikirannya di terjah perasaan sayu, kecewa. Ternyata lelaki yang hadir dalam mimpinya jauh berbeza dengan sifat Rasulullah s.a.w yang tertera dalam Syamail Muhammadiyah. Siapa dia? Adakah itu syaitan yang cuba untuk menyesatkannya daripada jalan yang lurus, atau cuma mainan tidur semata-mata? Cuma Allah s.w.t yang mengetahuinya. Yang pastinya lelaki itu bukan Rasulullah s.a.w, dia bermonolog sendiri.
Azim merasakan masa seperti terhenti buat seketika, alam menjadi sepi dalam fikirannya. Sukmanya diselubungi perasaan sedih, pilu dan kecewa.
"Nampaknya yang hadir dalam mimpi saya bukan Rasulullah s.a.w." luahnya dengan suara yang mendatar tidak begitu kedengaran.
Ustaz Sabri menarik nafas dalam-dalam. Perasaannya terkesan kagum melihat keinginan anak muda di hadapannya. Anak muda di hadapannya itu berbeza daripada yang biasa ditemuinya.
"Sabarlah Azim. Kalau pun kita tidak dapat bertemu Rasulullah s.a.w pada masa ini, insya' Allah kita akan bertemu baginda s.a.w. di akhirat, selagi mana kita beragama Islam dan berpegang teguh dengan sunnah baginda s.a.w serta banyak berselawat kepadanya." Ustaz Sabri menghampirkan diri dan memegang baru Azim. Diusap-usapnya kepala anak muda di hadapannya itu.
Perlahan-lahan Azim menghela nafas yang panjang. Kitab Syamail Muhammadiyah di tangannya ditutup perlahan-lahan, lalu dikembalikan ke dalam rak buku di sisi mejanya. Pesan-pesan Ustaz Sabri agar berpegang teguh kepada Islam, al-Qur'an dan sunnah Rasulullah s.a.w berdasarkan kefahaman Salafus Soleh tidak pernah luput daripada ingatan. Sunnah yang semakin ditinggalkan ramai orang, dihidupkannya dan perkara yang menyelisihi sunnah itu ditolaknya secara hikmah, dengan harapan agar usahanya itu akan menemukannya baginda s.a.w di akhirat sana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan