Khamis, 21 Februari 2013

Apabila Hati Kita Lapar!!!!

Hati lapar? Bagaimana agaknya keadaan hati yang lapar?Jika hati anda lapar, jangan biarkan ia terus kebulur. Kerana seperti badan, apabila dibiarkan kebuluran, sudah tentu akan sakit dan seterusnya mengakibatkan kematian. Oleh itu, carilah makanan untuk hati. Hati yang lapar sebenarnya mempunyai makanan tersendiri, ianya sangat istimewa dan menjimatkan wang ringgit. Tidak perlulah anda mengeluarkan wang beratus atau beribu-ribu ringgit, makanan hati yang istimewa ini ada disebutkan di dalam hadith nabi yang berbunyi:

 Sentiasalah basahi lidahmu dengan menyebut nama Allah

Sebenarnya makanan yang paling diperlukan dan memberi nutrisi yang secukupnya kepada hati ialah Zikrullah, yang bermakna zikir kepada Allah. Zikir bermakna memuji dan mengagungkan Allah. Namun, masih ramai yang sanggup berlapar dan dahaga kerana mereka sanggup membiarkan sang hati mati kekeringan akibat tidak menjamah makanan ataupun air yang dapat menghilangkan kebuluran. Sungguh mereka lupa dan lalai dengan godaan dunia. Maka bila hati dibiarkan kebuluran, mengecutlah ia menjadi kering dan kusam, seolah-olah badan manusia yang dipaksa berdiet setiap hari.

Tetapi mengapa bila hati anda lapar, anda sanggup biarkan hati anda kebuluran? Sedangkan lapar hati juga seperti laparnya perut. Bila bergurindam mulalah nak mencari makanan, tetapi bila lapar hati hanya sesetengah manusia sahaja yang mencari Tuhan. Manakala sebahagian lagi masih enak dibuai kegelapan.

Jangan biarkan hati kita lapar, kerana bila hati kita lapar tidak mustahil hati kita akan mati kegelapan tanpa sinar hidayah daripada Allah s.w.t.

Maka hendaklah kita sentiasa basahkan bibir kita dengan menyebut kalimah Allah dan memuji Allah s.w.t.

 Wallahualam.



Jumaat, 15 Februari 2013

Takdir Itu KetentuanNya


 Setiap orang mengimpikan sebuah perjalanan ke alam baitulmuslim yang sangat indah. Kita sentiasa merancang, tetapi pengakhirannya tetap bergantung kepada satu perkara iaitu takdir Allah SWT kerana sesungguhnya perancangan Allah itu mengatasi perancangan manusia itu sendiri.


Sebaik mana pun perancangan seseorang, namun perancangan Allah jualah yang lebih baik dan terbaik pada setiap keadaan dan waktu. Apa yang pasti, setiap perancangan dan ketentuanNya itu pastilah yang terindah walaupun di mata kasar seorang manusia, seribu manikam menikam sukmanya.


Dalam meniti usia senja, perancangan demi perancangan di bina dan di susun serapinya. Pada usia muda, pelajaran menjadi keutamaan. Namun dalam masa yang sama, tuntutan fitrah untuk membina hubungan halal turut meraih tempat dalam perancangan kita. Kita mula mengatur langkah dengan mencari bagi si teruna dan menanti bagi si puteri. Ada  yang menanti dalam diam, dan ada juga yang sama-sama menongkah zaman. Menjadi 'berani' ke hadapan namun tetap berada di dalam jagaan 'malu' dan 'rapinya' seorang wanita. Lantas, orang tengah menjadi pengantara.




  

Kesimpulannya, dalam merancang niat juga usah dilupakan. Niat awali lah ia hanya semata-mata kerana Allah. InsyaAllah, pastinya sebuah perancangan yang diniatkan keranaNya akan mendapat rahmat dan berkat dariNya. Jika seandainya perancangan kita itu tidak terjadi, pasti hati kita mudah merasa redha dan tenang menerimanya. InsyaAllah~

 Wallahua'lam.